Monday, February 7, 2011

Perniagaan Internet

Meneroka peluang niaga Internet

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

SELAIN bengkel perniagaan, Irfan Khairi turut menulis buku-buku motivasi dan perniagaan terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.


LUMRAH dunia bisnes, keuntungan pasti tidak akan datang bergolek tanpa kesungguhan, perancangan dan susunan strategi yang betul.

Kedengaran agak klise, namun itu adalah hakikat sebenar yang perlu dihadapi dalam menempuh cabaran bergelar ahli perniagaan berjaya.

Sebenarnya, untuk terlibat secara serius dalam perniagaan, ia tidak memerlukan prosedur terlalu rumit kerana apa yang penting adalah idea dan ilmu asas mengenainya.

Walaupun begitu, kebanyakan kita sering meletakkan persepsi perniagaan sebagai sesuatu yang sofistikated dengan memberi pelbagai alasan tanpa melihat peluang yang ada.

Antara alasannya adalah seperti masalah modal, tidak berani menanggung risiko, bimbang akan mengalami kerugian dan tidak tahu apa yang ingin diniagakan.

Hari ini, aktiviti perniagaan semakin diperkembangkan melalui pelbagai medium pelaksanaan yang lebih mudah dan terbuka.

Ia juga tidak semata-mata memerlukan lokasi atau premis perniagaan khas sebaliknya boleh dijalankan secara maya menerusi platform Internet.

Di Malaysia, Irfan Khairi merupakan antara individu yang berjaya membuktikan keupayaan besar perniagaan Internet menawarkan pendapatan lumayan.

Beliau yang merupakan perunding perniagaan Internet terkenal mula terlibat dengan aktiviti niaga secara dalam talian sejak tahun 1996.

“Selepas beberapa tahun berjaya dengan perniagaan Internet, saya cuba untuk memperkenalkan konsep ini kepada rakyat Malaysia pula melalui siri bengkel motivasi.

“Pada peringkat awal, ramai yang tidak mempercayainya. Jadi, kesempatan itu saya gunakan untuk memberi pendedahan serta mendidik mereka tentang cara terbaik memaksimumkan keuntungan perniagaan menerusi urusniaga di Internet.

“Tahun demi tahun, mereka semakin menyedari potensi perniagaan ini dan bermula penghujung tahun 2009, kita dapat lihat ramai yang tertarik untuk menjalankan perniagaan secara maya ini,” jelasnya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Irfan lagi, peningkatan minat itu adalah disebabkan perniagaan Internet mengetengahkan konsep lebih mudah, fleksibel, menjimatkan masa selain memberi keuntungan lumayan.

Dengan semua kelebihan itu, sesiapa sahaja boleh menyertai perniagaan berkenaan pada bila-bila masa mengikut kelapangan.

Malah katanya, golongan yang tidak mempunyai pengetahuan teknologi maklumat (IT) juga pasti mudah untuk memahami konsep perniagaan Internet.

“Ini kerana, semua proses perniagaan boleh dijalankan secara maya bermula daripada mencari produk sehingga memperoleh keuntungan.

“Apa yang penting adalah strategi untuk membina keyakinan para pengunjung laman web sekali gus mengubah kehadiran mereka daripada sekadar berstatus pelawat menjadi pelanggan perniagaan kita.

“Sesuatu yang menarik mengenai perniagaan ini, ia boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan kepada ahli masyarakat. Tambahan pula dengan kehadiran telefon bimbit pintar yang semakin canggih kini, fungsinya bakal memudahkan para usahawan Internet memantau perniagaan mereka di mana-mana sahaja,” katanya.

www.kemahiranhidup2u.blogspot.com

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails