Thursday, January 20, 2011

1 sekolah menengah vokasional 1 produk komersial

1SMV 1produk komersial

Oleh Wahid Hashim
pendidikan@utusan.com.my

Rostrum Pintar SMT Sri Pelindung menjadi produk pertama yang akan dikomersialkan oleh BPTV dengan kerjasama SIRIM pada tahun ini.


BAHAGIAN Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) memperkenalkan satu produk komersial setiap tahun daripada sekolah menengah vokasional (SMV) mulai tahun ini.

Kata Pengarahnya, Ahmad Tajudin Jab (gambar) berkata, pada tahun ini, pihaknya dengan kerjasama SIRIM akan mula mengkomersialkan produk SMV dan teknik yang bernilai komersial.

Menurut beliau, produk sulung Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sri Pelindung Kuantan, Pahang berjaya mengungguli kategori sekolah dengan reka cipta Rostrum Pintar (RosPin) yang mempunyai kebolehan untuk menyelaras ketinggian mikrofon secara automatik mengikut ketinggian penggunanya.

RosPin telah digunakan dengan meluas pada majlis dalaman sekolah dan yang melibatkan kenamaan - termasuk pernah digunakan oleh mantan Perdana Menteri.

Rostrum itu pernah menerima anugerah utama kategori sekolah dalam Majlis Anugerah Inovasi Negara beberapa tahun lalu.

Apabila dipasarkan kelak, pemegang hak cipta harta intelek bersama ialah SMV dan SIRIM.

"Jadi kita berharap satu tahun akan ada satu produk daripada SMV kerana kita hendak mengetengahkan hasil reka cipta pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Tentang perkembangan terbaru dan yang sedang dirancang, Tajuddin berkata, mulai tahun ini dan 2012, pihakya akan mengadakan program rintis ekuin di dua buah sekolah vokaisonal iaitu SMV Sungai Buloh dan SMV Kajang.

Seramai 40 pelajar daripada kedua-dua sekolah itu akan mengikuti program ekuin dalam beberapa tahap sijil sebelum layak diserap ke dalam industri ekuin.

"Malah pelajar yang berminat boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke Australia dalam bidang yang sama," katanya.

Selain ekuin, bidang baru yang sedang dinaik taraf dengan giat ialah bidang maritim. Bagi tujuan itu, sumber memberitahu, tapak Kejuruteraan Kerja Masa (KKM) Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai SMV (Maritim) Pasir Gudang.

Menurut sumber tersebut, kerja-kerja pengambilan tapak telah dilakukan oleh Bahgaian Pembangunan Kementerian Pelajaran Malaysia. Dua buah kapal juga telah dipohon daripada Jabatan Perikanan Malaysia iaitu KL Paus dan KL Manchong.

Utusan Malaysia juga diberitahu, sejajar dengan dinamisme kurikulum di sekolah beraliran vokasional, BPTV tidak bercadang membuat satu kurikulum untuk satu jangka masa yang panjang.

Sehubungan itu, BPTV telah memohon supaya pembangunan kurikulum pada masa depannya tidak melalui Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP).

sumber utusan online

www.kemahiranhidup2u.blogpot.com

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails