Wednesday, July 7, 2010

Tahukah Anda Kenapa Siaran TV Satelit Terganggu ?


Kenapa siaran TV satelit terganggu?

Oleh NYANASEGARI BHOO PATHY
Utusan online

SATELIT memberikan pelbagai kemudahan dalam kehidupan harian kita. Satelit komunikasi, terutamanya, memainkan peranan penting seperti perkhidmatan telefon, televisyen satelit, radio, internet dan juga untuk tujuan ketenteraan.

Satelit komunikasi menggunakan gelombang mikro untuk menghantar dan menerima data.

Panjang gelombang itu antara satu milimeter ke satu meter dengan radio frekuensi antara 0.3 - 300 GigaHertz (GHz).

Secara umumnya satelit komunikasi beroperasi mengunakan jalur Ku (disebut ‘kay-yoo’) yang berfrekuensi antara 12 dan 18 GHz.

Julat ini dikhaskan untuk kegunaan satelit komunikasi oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland yang merupakan badan piawaian sedunia untuk bidang telekomunikasi.

Secara umumnya, mana-mana aplikasi yang menggunakan frekuensi 10 GHz dan ke atas akan menjadi lemah yang dikenali sebagai kesan renjaman/pelemahan apabila hujan (rain fade).

Apabila isyarat yang melebihi julat 10 GHz melalui titisan hujan di lapisan atmosfera bumi ia terus menjadi lemah.

Ini disebabkan isyarat tersebut akan mengalami kesan penyerapan dan penyebaran di lapisan atmosfera bumi ketika hujan lebat.

Penyerapan bermaksud isyarat yang melalui titisan hujan berubah menjadi tenaga haba dan diserap oleh titisan tersebut.

Penyebaran pula bermaksud isyarat akan melalui medium penghantaran yang tidak seragam kerana kehadiran titisan hujan di lapisan atmosfera menyebabkan isyarat itu mengalami kesan pembiasan dan pembelauan.

Kedua-dua faktor itu menyebabkan berlakunya pengurangan pada isyarat, sama ada yang dihantar dari stesen bumi ke satelit (uplink) atau satelit ke bumi (downlink).

Ini adalah punca mengapa penyiaran Astro di rumah anda terganggu apabila hujan lebat.

Ini tidak bermaksud anda akan kehilangan isyarat setiap kali hujan.

Kesan renjaman hujan pada isyarat yang melebihi 10 GHz hanya ketara apabila hujan lebat di mana sebahagian kecil laluan transmisi isyarat mengalami gangguan.

Bagaimanapun, masalah itu boleh di atasi dengan menambah kuasa pemancaran isyarat ketika hujan untuk menggantikan kehilangan yang disebabkan oleh renjaman hujan.

Berdasarkan maklumat daripada laman web Astro (sila rujuk : http://www.astro.com.my/portal/indices/index_107.html), bagi mengatasi kesan renjaman hujan ketika hujan lebat, kuasa transmisi bagi 13.2 meter piring satelit uplink akan ditingkatkan ke kapasiti maksimum iaitu sebanyak 2200 Watt.

Bagi hari biasa dengan keadaan langit cerah, kuasa yang diperlukan hanya sebanyak 35 Watt iaitu 1.6 peratus daripada kapasiti sedia ada.

Oleh yang demikian, pihak Astro hanya menjanjikan 99.7 peratus kadar ketersediaan untuk pelanggannya yang menggunakan piring satelit berdiameter 60 sentimeter kerana kesan renjaman hujan hanya boleh dikurangkan tetapi tidak boleh diatasi sepenuhnya.

Jalur Ku bukan sahaja digunakan untuk penghantaran siaran televisyen tetapi juga untuk penghantaran data digital melalui dan untuk penghantaran suara atau audio.

Contohnya, Very Small Aperture Terminal (VSAT) yang anda selalu lihat di atas bumbung stesen minyak digunakan untuk transaksi kad kredit ketika pembayaran.

Selain itu, VSAT turut digunakan untuk pelbagai aplikasi lain antaranya untuk penyediaan akses Internet satelit di lokasi terpencil, komunikasi bergerak maritim dan sebagainya.

Peningkatan terhadap aplikasi komersial telah mempergiatkan industri jalur lebar satelit.

Memandangkan frekuensi rendah telah menjadi tepu, peralihan kepada jalur frekuensi 20 GHz dan ke atas perlu kerana ia menyediakan lebar jalur yang luas, kadar data yang tinggi dan saiz komponen yang kecil.

Walaupun pihak ITU telah membangunkan model pengiraan untuk mengurangkan kesan renjaman hujan namun ia tidak berkesan sepenuhnya kerana taburan hujan di negara - negara tropika seperti Malaysia yang hujan sepanjang tahun dan tidak menentu merupakan suatu cabaran yang perlu dilihat dengan teliti.

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails