Sunday, May 16, 2010

Kalau Ada Kemahuan..... Pasti Ada Kejayaan....



Apabila Nick Vujicic dilahirkan tanpa lengan dan kaki, ibu bapanya bukan setakat terkejut, malah tidak sanggup untuk melihatnya.

Bapanya meninggalkan hospital dan muntah sementara ibunya tidak memegangnya sehingga dia berusia empat bulan.

Bagaimanapun, lama-kelamaan, keadaan berubah.

Ketika kanak-kanak, Vujicic, 26, yang berasal dari Melbourne, Australia, suka melakukan apa yang digemari oleh teman seusianya - bermain bola sepak, berenang dan luncur air.

Walaupun cacat sedemikian rupa, dia masih mempunyai kaki kecil di satu pahanya yang banyak membantunya menjalani kehidupan seharian.


Vujicic menggunakannya untuk menaip, memegang pen untuk menulis.

"Saya menggelarnya 'paha ayam'. Hidup saya akan menjadi begitu rumit tanpanya," kata Nick.

"Apabila dalam air, saya akan terapung kerana 80 peratus badan saya adalah paru-paru dan 'paha ayam' saya bertindak sebagai kipas untuk menggerakkan saya," katanya.

Dia yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat mempunyai ramai teman wanita dan mendapat banyak tumpuan apabila di luar.

"Dia banyak menerima lamaran. Dia memang bercita-cita untuk berkahwin tetapi masih menanti wanita yang sesuai," kata temannya, Steve Appel.

Bagaimanapun, Vujicic memilih untuk terus menjaga 'keperawanannya' sehingga mendirikan rumah tangga.

Sejak kecil lagi Vujicic begitu bersungguh-sungguh untuk menjadikan kehidupannya lebih baik.

"Sukar bagi ibu bapa saya. Tetapi sejak kecil mereka sudah mengajar saya untuk berdikari," katanya.

Bapanya, pengatur cara komputer, mengajarnya menaip menggunakan jari kaki ketika dia berusia enam tahun. Ibunya pula, jururawat, mencipta peralatan khas untuk membolehkannya menyepit pen dan pencil di celah jari kakinya supaya dia boleh menulis.

Walaupun berdepan dengan ancaman dibuli, ibu bapa Vujicic mengambil keputusan untuk menghantarnya belajar di sekolah biasa.

"Ia keputusan terbaik mereka buat untuk saya," kata Vujicic yang kemudian memperoleh ijazah dalam bidang Perancang Kewangan dan Hartanah.

Walaupun mempunyai kerusi elektrik beroda untuk bergerak dan beberapa orang untuk membantunya, namun dia terpaksa melalui zaman sukar di sekolah kerana diejek dan kadang kala dibuli oleh pelajar lain.

"Saya begitu tertekan ketika berusia lapan tahun. Pernah saya menangis dan memberitahu ibu saya mahu membunuh diri. Saya marahkan Tuhan kerana menjadikan saya begini. Saya begitu takut jika ibu bapa saya tiada kelak. Banyak perkara yang saya tidak boleh lakukan," katanya.

Keadaan menjadi lebih buruk dua tahun kemudian apabila dia cuba melemaskan dirinya ketika dalam bilik mandi.

"Saya merasakan tidak ada gunanya saya hidup. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Tanggapannya mengenai kehidupan mula berubah sama sekali ketika berusia 13 tahun.

"Saya terbaca dalam akhbar kisah seorang lelaki yang berjaya mencapai kejayaan dan membantu ramai orang. Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang," katanya.

Vujicic kini menjadi pakar motivasi dan sudah melawat 24 negara untuk berceramah depan kira-kira 110,000 orang.

"Saya menyedari mengapa saya dijadikan begini - untuk memberi harapan kepada yang lain. Ia memberikan saya inspirasi untuk menggunakan kehidupan saya bagi membantu orang lain, memberi dorongan kepada mereka.

"Saya kini lebih berterima kasih kepada apa yang saya ada dan tidak marah dengan apa yang saya tiada.

"Saya melihat diri saya di cermin dan berkata: 'Saya tidak mempunyai tangan dan kaki, tetapi saya masih mempunyai mata yang cantik.' Saya mahu membuat yang terbaik terhadap apa yang saya miliki," katanya .

Pada 1990, Vujicic memenangi anugerah Warga Muda Australia kerana keberanian dan kecekalannya.

sumber :http://paapaada.blogspot.com

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails