Saturday, April 24, 2010

Program Renjer Hijau akan diwujudkan

Landskap Malaysia Akan Wujudkan Bank Benih

PETALING JAYA, 24 April -- Landskap Malaysia akan mewujudkan sebuah bank benih bagi mengekalkan pokok dan membantu kerajaan dalam perkara berkaitan isu alam sekitar, kata Pengerusinya Tun Jeanne Abdullah pada Sabtu.

Beliau berkata bank benih itu akan dilancarkan Isnin ini bersempena Forum Hijau Malaysia di Putrajaya.

"Ia juga sebagai menyokong komitmen kerajaan untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon menjelang tahun 2020," katanya ketika melancarkan program menanam pokok "1 Murid 1 Pokok" di Sekolah Kebangsaan Seri Petaling di sini.

Beliau berkata Landskap Malaysia turut merancang mewujudkan program Renjer Hijau untuk pelajar sekolah bagi menyemai kesedaran mengenai isu alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

"Semua pelajar sekolah akan dapat menyertai Renjer Hijau dan mengambil bahagian dalam semua program sukarelawan bagi memulihara alam sekitar. Kami telah pun menyediakan kertas kerja yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran tidak lama lagi untuk kelulusan," katanya.

Dalam program menanam pokok itu, sejumlah 165 pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Petaling menanam pokok di perkarangan sekolah dan akan menjaganya sehingga mereka menamatkan persekolahan.

-- BERNAMA

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails