Thursday, April 1, 2010

Penambahan Pelajar ke Sekolah Teknik/Vokasional menjelang 2015


Pelajar Sekolah Teknik/Vokasional Bertambah Dua Kali Ganda Pada 2015
KOTA BAHARU, 1 April -- Kementerian Pelajaran mensasarkan jumlah kemasukan pelajar ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional bertambah dua kali ganda menjelang tahun 2015.

Timbalan Pengarah Pengurusan Akademik Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Wan Mohd Noor Wan Endut berkata sasaran 134,000 pelajar itu mampu dicapai.

Beliau berkata satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berhubung usaha meluaskan akses pendidikan berkualiti, menyaksikan sekolah-sekolah Teknik dan Vokasional ini digerakkan untuk memastikan bahawa pertambahan pelajarnya meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2015.
"Sehingga tahun 2010, kemasukan ke sekolah-sekolah ini meningkat kepada 75,000 orang berbanding sasaran awal 67,000 dan jumlah itu dijangka meningkat dari tahun ke tahun," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-15 di SMT Pengkalan Chepa di sini hari Khamis.

Anugerah itu sebagai memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar dan panitia yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2009.

Wan Noor berkata permintaan tinggi dalam bidang kemahiran dan vokasional menjadi salah satu faktor peningkatan pelajar dalam pelbagai bidang terutamanya bidang-bidang yang memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Menurutnya selain membantu pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik mendapat peluang kerjaya, ia juga mampu memberikan mereka pulangan yang tinggi dari sudut ekonomi.

"Bidang kemahiran kini menjadi satu bidang terpenting dalam pembangunan negara dan ia sudah tentu memerlukan tenaga kerja yang ramai dan pelbagai," katanya.

-- BERNAMA

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails