Saturday, April 10, 2010

Kit Pembelajaran Sains

USM reka kit pembelajaran sains

PULAU PINANG 7 April - Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan kit pembelajaran sains untuk sekolah rendah khusus bagi murid lemah di kawasan pedalaman Sabah.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Dr. Hashimah Mohd. Yunus yang mengetuai kumpulan itu berkata, kit berkenaan dihasilkan dengan bantuan tiga pensyarah lain tahun lalu.

Ia dilaksanakan melalui geran dan peruntukan daripada Yayasan Sabah sebanyak RM2.7 juta.

Katanya, kit tersebut mempunyai empat komponen iaitu Panduan Guru, Aktiviti Murid, Penilaian Murid dan Kit Sains dibuat khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah kekurangan dari aspek infrastruktur, kemudahan dan sumber pengajaran dan pembelajaran.

''Kajian ini dijalankan terhadap sekolah rendah di kawasan pulau, pesisir pantai, kaki bukit dan pendalaman Sabah dengan dua sekolah dipilih dari setiap kawasan.

''Hasilnya menunjukkan tahap pencapaian dan kebolehan murid yang berada di kawasan pedalaman ini berbeza-beza di mana kebanyakan mereka tidak mampu mengikuti sukatan mata pelajaran Sains yang dibuat kementerian.

''Ada antara mereka yang berada di darjah enam tapi malangnya tahap pemikiran mereka masih di darjah satu.

"Inilah perlunya satu aktiviti pembelajaran lain dirancang supaya mereka ini tidak terus tercicir dan dapat mengikuti pembelajaran seperti murid lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, dekan pusat pengajian berkenaan, Prof. Dr. Abdul Rashid Mohamed.

Menurut Hashimah, kit merangkumi lima tema yang dikhususkan dalam sukatan mata pelajaran Sains sekolah rendah iaitu Menyiasat Alam Kehidupan, Menyiasat Daya dan Tenaga, Menyiasat Alam Bahan, Menyiasat Bumi dan Alam Semesta serta Menyiasat Dunia Teknologi.

Katanya, kit tersebut juga disertakan dengan modul pembelajaran yang mampu membantu guru menjelaskan sesuatu aspek sains dengan cara mudah difahami selain dibekalkan alat-alat sains seperti termometer, anak patung dan klip mengikut tema dipilih.

Beliau berkata, sebelum seseorang murid mula diajar menggunakan kit berkenaan, mereka terlebih dahulu akan didiagnosis untuk mengetahui tahap pencapaian dan kebolehan menguasai sains.

''Setelah hasil diagnosis diperoleh, murid terbabit akan diletakkan di dalam tema yang sesuai untuknya," katanya.

utusan online

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails