Tuesday, March 2, 2010

Program Memperbaiki Sekolah-sekolah

PIBGN, NUTP Sambut Baik Cadangan Program Memperbaiki Sekolah-Sekolah

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pada Selasa menyambut baik cadangan untuk mewujudkan Program Memperbaiki Sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar dan pedalaman.

Presiden PIBGN Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan ketika dihubungi Bernama berkata kebanyakan sekolah di kawasan berkenaan masih jauh ketinggalan dan terpinggir berbanding sekolah di bandar.

Bagi memastikan program itu berjalan lancar, Mohamad Ali berkata semua pihak termasuk sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus bekerjasama untuk menyenaraikan keperluan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihubungi pada Selasa mengumumkan cadangan untuk mewujudkan Program Memperbaiki Sekolah-sekolah bagi membantu meningkatkan tahap pencapaian kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata program berkenaan akan ditumpukan kepada sekolah-sekolah yang tahap pencapaiannya kurang memberangsangkan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu Mohamad Ali juga mencadangkan supaya pemantauan rapi dilaksanakan setiap tiga hingga enam bulan sekali untuk memastikan program berkenaan tidak terbengkalai dan mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat.

Mengenai imbuhan kepada pengetua, guru besar serta guru yang berjaya meningkatkan tahap pencapaian sekolah masing-masing menerusi program berkenaan, sama seperti yang diberikan kepada pentadbir sekolah itu di bawah Sekolah Berprestasi Tinggi, beliau berkata ia juga wajar dipanjangkan kepada kepimpinan PIBG.

"Ini kerana kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja disumbang oleh pelajar, guru-guru itu sendiri, tetapi juga PIBG," kata beliau.

Sementara itu Presiden NUTP Hashim Adnan berharap supaya sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan akan menerima peruntukan itu secepat mungkin dan tidak terhad kepada sekolah-sekolah tertentu sahaja.

Mengenai imbuhan yang akan diberikan kepada pengetua, guru besar serta guru yang berjaya meningkatkan tahap pencapaian sekolah masing-masing, Hashim berpendapat ianya akan menjadi galakan untuk mereka bekerja keras supaya matlamat itu tercapai.

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails