Tuesday, March 16, 2010

Pengukir Kayu Mah Meri tonjol Kemahiran di Washington DC

Pengukir Kayu Mah Meri Diberi Peluang Tonjol Kemahiran Di Washington



BANTING, 16 Mac (Bernama) -- Seorang pengukir kayu daripada Orang Asli Mah Meri akan dibawa ke Washington DC, Amerika Syarikat bagi menonjolkan keistimewaan kesenian ukiran kayu kaum itu di persada antarabangsa, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa.

Beliau berkata pengukir kayu itu akan diberi penghormatan besar semasa pameran "Showcase Malaysia Culture" dalam minggu pertama April ini di ibu negara Amerika Syarikat itu kerana mereka telah membuktikan kebolehan sehingga artifak mereka "Moyang Harimau Berantai" mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tempoh hari.

Pameran anjuran kerajaan itu akan turut mengetengahkan kesenian lain dan pengukir Mah Meri itu bukan sahaja akan mengukir artifak harimau berantai tetapi figurin lain yang memaparkan keindahan jiwa Orang Asli itu sendiri dan topeng, katanya selepas merasmikan Perayaan Moyang yang disambut oleh kaum Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey dekat sini.

"Kraf orang Asli kian lama kian laku tapi masalahnya bahan kayu nyireh di sini telah kehabisan. Jadi kita perlu cari bahan-bahan kayu yang sesuai dan baru," katanya.

Rais berkata dalam Festival Kraf yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, hasil kraftangan ukiran Orang Asli mendapat sambutan apabila berjaya mencatat jualan melebihi RM16,000 dalam tempoh seminggu, merupakan satu habuan yang besar.

"Ini testimoni kepada kejayaan mereka. Oleh sebab itulah kita akan berusaha dengan rakan-rakan kementerian membuka kedai Orang Asli dan mereka juga akan kita bawa dalam arena membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata kesinambungan hidup Orang Asli perlu diberi nilai baru dan pihak kementerian akan meneruskan projek pembangunan kraftangan di sini.

"Projek seni budaya dan membina semangat 1Malaysia itu perlu dilaksanakan agar masyarakat orang Asli, sebagai kaum minoriti tidak akan ketinggalan. Setiap tahun kita akan datang ke mari dan akan melakukan program- program bantuan serta bimbingan," katanya.

Beliau juga berkata akan memaklumkan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai keperluan jalan raya di kampung itu yang diminta oleh penduduk.

Selain itu, pembinaan sebuah dewan di kampung itu yang sedang berjalan akan dipastikan siap, katanya.

Pada majlis itu, Rais sempat menyertai tarian Jo'oh Mah Meri yang merupakan persembahan yang menjadi gimik pelancaran Hari Moyang.

Ketika berucap, Tok Batin Sidin Bujang berkata sempena Hari Moyang pada hari ini, masyarakat Mah Meri akan bersembahyang pada sebelah pagi dan memohon restu daripada nenek moyang mereka.

Mereka juga dilarang membunuh binatang dan merosakkan tumbuh-tumbuhan selama tiga hari berturut-turut sempena perayaan itu.

Agensi kementerian seperti Jabatan Penerangan Selangor turut bersama melakukan program pengisian gagasan 1Malaysia menerusi acara tarian yang memaparkan kebudayaan pelbagai bangsa dan juga masyarakat orang Asli.

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails