Tuesday, March 9, 2010

Giliran Guru ke luar bandar ?

Guru patut bergilir ke luar bandar

KUALA LUMPUR 8 Mac - Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

"Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik sahaja guru berkenaan ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya," katanya.

"Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar," katanya.

Katanya, NUTP yang mewakili 160,000 guru "menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar."

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.

Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500. - Bernama

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails