Saturday, February 13, 2010

Guru Baru bertugas di Pedalaman ?


Syor guru baru bertugas di p
edalaman

BALIK PULAU: Kementerian Pelajaran bercadang mewajibkan guru baru untuk bertugas di pedalaman selama tiga tahun bagi memberi pengalaman serta pendedahan kepada mereka mengenai keperitan bertugas sebagai pendidik.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zakarshi, berkata pihaknya tidak lagi akan menempatkan guru baru di kawasan bandar atau berhampiran tempat tinggal seperti berlaku pada masa ini.

"Biar mereka tahu bagaimana pengalaman bekerja sebagai pendidik terutama di kawasan pedalaman yang kadang-kala memerlukan kesabaran berikutan kesukaran hidup di kawasan berkenaaan.

"Ini masih di peringkat cadangan dan kajian mengenainya sedang dilaksanakan. Bagaimanapun, ini satu pendekatan baik bagi melahirkan guru berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang sekitar Parlimen Balik Pulau dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang; Adun Pulau Betong, Mohamad Farid Saad dan Adun Bayan Lepas, Syed Ameruddin Syed Ahmad.

Mengenai pengambilan pelajar lulusan SPM untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG), Puad berkata, pengambilan kumpulan pertama akan dibuat Jun ini.

"Pemilihan calon adalah antara mereka yang mempunyai gred baik pada peperiksaan SPM," katanya.

Sementara itu, Puad berkata, pihaknya bercadang memberi kelonggaran kepada pelajar bidang kemahiran dengan membenarkan mereka mengambil hanya satu subjek iaitu Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan mereka memperoleh sijil.

"Ketika ini, pelajar perlu menjawab subjek lain seperti Sains serta Matematik dan pelajar kemahiran sudah tentu tidak begitu berminat menjawabnya menyebabkan sijil mereka tidak begitu 'cantik' kerana gagal.

"Sebab itu kami mahu memberikan kelonggaran kepada mereka dengan membenarkan menjawab kertas Bahasa Melayu saja," katanya.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan pelajar bidang kemahiran yang belajar di Sekolah Vokasional dan Teknik melanjutkan pelajaran bagi memperoleh Sijil Kemahiran peringkat lima.
"Bagi mendapatkan sijil itu, mereka perlu melanjutkan pelajaran ke program dikendalikan agensi seperti Kementerian Sumber Manusia. Kami hanya menyediakan sijil bagi peringkat satu dan dua saja," katanya.

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails