Sunday, February 21, 2010

Bengkel Minda buat Guru

Bengkel minda Kampus Kesihatan USM

KOTA BHARU 19 Feb. - Kalangan guru dipelawa menyertai Bengkel Minda Bitara bertemakan 'Pembelajaran Berasaskan Minda Melalui Prinsip Neurobiologi' buat pertama kalinya di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kota Bharu mulai April ini.

Penyelarasnya, Prof. Dr. Zalina Ismail berkata, bengkel itu dilaksanakan di bawah Projek Rangkaian Informasi dan Penyelidikan Minda untuk memberi pengetahuan dan kemahiran mengajar yang menjurus kepada kurikulum neuroplastik.

Katanya, pengetahuan yang diterapkan pada bengkel juga, membolehkan guru mendapatkan maklumat terkini tentang pendidikan dan pembelajaran berasaskan minda.

''Program pembelajaran itu akan memberi peluang kepada guru membangunkan profesionalisme masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Dr. Zalina, bengkel itu akan berlangsung selama empat bulan iaitu sehari pada setiap bulan bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, kurikulum neuroplastik memberi peluang untuk peserta merealisasikan potensi mereka demi mencapai kecemerlangan maksimum di dalam bidang yang sesuai dengan kecerdasan dan kepintaran mereka.

''Pada bulan pertama, dimulakan dengan pengenalan kepada bengkel, seterusnya lima langkah ke arah pembelajaran berasaskan kurikulum neuroplastik, struktur dan fungsi otak dan hubungkait dengan minda dan sesi itu berlangsung antara 40 minit hingga satu jam setengah," jelasnya.

Beliau memberitahu, kuliah seterusnya melibatkan konsep otak dan minda kiri, kanan atau kedua-duanya serta kecenderungan minda kendiri dan kesannya terhadap cara pengajaran dan pembelajaran.

''Perbincangan berkelompok berasaskan senario pula melibatkan cara mengatur strategi untuk menggabungkan konsep neuroplastisiti dalam aspek pengajaran dan pembelajaran," jelasnya.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi email, drzalina@gmail.com.

utusan online

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails