Wednesday, November 18, 2009

Taman Orkid

Taman orkid terbalik

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


Orkid digantung terbalik, menyerlahkan kreativiti dan kunikan laman.

Gubahan unik Laman Johor raih anugerah emas Floria 2009

GUBAHAN orkid yang digantung terbalik di atas para di dalam pondok kayu terbukti menjadi kelainan ditonjolkan Laman Kerajaan Negeri Johor, sehingga membolehkannya meraih anugerah Emas Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2009 (Floria 2009) yang berlangsung dari 1 hingga 9 Ogos lalu.

Teknik gantungan yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini bukan setakat menawan hati juri, malah pengunjung turut terpikat dengan keunikan berkenaan setiap kali melalui ruang yang menempatkan pameran laman jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di F

Lebih unik lagi, laman itu menggunakan hampir 80 peratus orkid yang didatangkan khusus dari Johor yang merangkumi pelbagai spesies orkid tempatan dan hibrid.

Bagaimanakah teknik gubahan itu dihasilkan? Orkid yang digantung ditanam dalam pasu kecil yang kemudian dibungkus dengan plastik hitam bagi mengelakkan tanah dalam pasu jatuh. Bunga berkenaan pula disusun rapat dan digantung terbalik di atas para khas dengan pelbagai warna seakan taman tergantung di tengah laman.

Bagaimanapun, orkid yang ditanam di atas tanah saja se­suai untuk menjadi hiasan gantung terbalik kerana ia tumbuh menegak manakala orkid liar yang suka me­­numpang pada dahan pokok tidak sesuai untuk penataan gaya sedemikian.

Gambar dari kiri, bangku dan terendak lampu kayu pelengkap hiasan laman. Batu sungai dan kerikil menambah seri laman. Orkid jadi tema laman Johor Darul Takzim.

Pondok kayu dengan tiang empat di tengah-tengah nampak ringkas tetapi praktikal untuk kawasan laman yang sederhana besarnya sesuai menjadi tempat istirahat sekeluarga pada waktu petang atau ruang bermain anak kecil, juga tempat membaca di waktu petang.

Bagi melengkapkan pondok serta melindungi cahaya matahari, bidai buluh diletak­kan di sisi pondok, manakala di sebelah kiri dan kanan pondok diletakkan bangku kayu serta terendak lampu kayu untuk menerangkan lampu pada waktu malam.

Ketua Juri Laman Floria 2009, Noriah Mat, berkata laman berkenaan dipilih menerima anugerah emas bukan hanya kerana keunikan orkid yang digantung terbalik semata-mata tetapi ia menepati ciri-ciri laman yang baik seperti mempunyai landskap menarik serta penca­hayaan yang sesuai.

"Ciri-ciri mapan juga jelas pada reka bentuk laman ber­kenaan dan kreativiti reka bentuk laman juga menyebabkan ia layak menerima anugerah emas," katanya.

Pelbagai spesies orkid menyerlahkan laman Johor Darul Takzim.

Selain orkid, laman berke­naan dilengkapi tumbuhan seperti paku pakis, tanduk rusa, paku pandan, palas, pokok kelapa dan beberapa spesies palma.

Ciri-ciri landskap kejur termasuk batu kerikil dan sungai yang dihias berselang seli dengan pokok renek manakala landskap lembut terdiri daripada pelbagai pokok memanjat termasuk paku pakis ditanam di tepi tembok.

INFO: Orkid

  • Ada 880 jenis dengan 22,000 spesies.

  • Pokok orkid atau orchidaceae ialah keluarga bunga yang memiliki banyak perbezaan pada bentuk serta rupa pokok.

  • Antara paling popular ialah Dendrobium, Onci­dium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Renanthera dan Phalaenopis manakala gen kacukan yang dihasilkan menerusi kaedah teknologi botani ialah Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.

    n
  • Baka lain hasil kacukan ialah Doritaenopsis, Holtumara, Kagawa, Laycockara, Limara, Mokara, Renantanda, Renanstylis, Renanthopsis,Rhyncovanda, Teohara, Vandaenopis, Vandachnis dan Vascostylis.

  • Antara jenis gen hibrid yang popular ialah Aranda Chark Kuan dengan bunganya berwarna magenta, Aranda Chritie (bintik merah jambu), Aranda Iskandar (ku­ning), Aranda Kooi Choo (biru) dan Aranda Lum Chin (kuning).

  • Bunga orkid berasal daripada sepal, petal (kelopak), stamen dan pistil yang mempunyai daun urat selari. Gabungan stamen dan pistil dinamakan kolum. Di bahagian luar sepusar bunga ada tiga kelopak sepal manakala di sebelah dalamnya pula ada kelopak.

  • Petal ketiga berubah bentuk menjadi labelum atau bibir. Kolum mengandungi cepu debunga pada bahagian atas, stigma (tengah) dan benang sari (bawah).

  • Debunga terletak dalam pundi yang dipanggil polinia yang dalam bilangan genap, iaitu dua hingga 12. Ovari terletak di bawah sepal dan berfungsi sebagai tangkai bunga atau pedisel. Selepas persenyawaan, ovari akan membesar menjadi buah orkid yang mengandungi biji benih.

  • Umumnya, orkid boleh dibahagikan mengikut ciri pertumbuhannya iaitu simpodium dan monopodium. Orkid simpodium boleh tumbuh di atas pokok secara epifit atau atas tanah yang dipanggil terrestrial.

  • Orkid jenis ini mempu­­nyai rizom atau batang yang tumbuh rapat di permukaan pasu dan beberapa pucuk baru akan tumbuh dari bahagian ini, selain tangkai bunga akan keluar di hujung pucuknya. Contoh orkid Simpodium ialah Oncidium, Dendrobium dan Catteleya.
  • Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

    Anda juga mungkin meminati

    Related Posts with Thumbnails