Thursday, November 5, 2009

Kemahiran Jamin Pekerjaan

Pendidikan teknikal, vokasional diperkasa


SISTEM pendidikan negara perlu terus melengkapkan pelajar dengan kemahiran relevan dan latihan untuk menyediakan mereka apabila berdepan landskap saingan global. Gabungan usaha sama dengan pemimpin industri yang menawarkan pekerjaan, latihan dan kaunseling kerjaya bagi menyediakan pelajar ke alam pekerjaan sebenar nyata membuahkan hasil amat memuaskan.

Dengan perubahan kepada pekerjaan yang berasaskan ilmu dan pengetahuan, kerajaan perlu berusaha meningkat dan membangunkan bakat yang ada. Dalam konteks ini, peluang menjalin kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT), perniagaan dalam sektor swasta dan kerajaan mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketika ini, sistem Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di Malaysia berupaya menyediakan modal insan dan tenaga kerja yang dihasilkan menerusi graduan pada peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan di politeknik. Graduan politeknik dan vokasional ini menyediakan pekerja mahir dan separuh mahir serta kelas pertengahan.

Kelebihan TVET tidak dinafikan kerana pengajian yang ditawarkan menyediakan keseimbangan di antara kemahiran umum dan khusus, latihan teori dan amali, tumpuan kepada industri, skim latihan untuk pelajar dan pengajian sepanjang hayat. Kewujudan politeknik kini menjadi tumpuan ibu bapa yang merasakan anak mereka boleh mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian sama ada pada peringkat sijil mahupun diploma.

Sememangnya 49 program peringkat diploma, 22 program peringkat sijil, 12 program asas dan lima program kemahiran khas serta satu program diploma lanjutan yang ditawarkan menerusi TVET tidak pernah menghampakan belia yang dahagakan ilmu kemahiran. Ditambah pula dengan 21 program peringkat sijil dan 89 program berdasarkan permintaan, ia mampu menyediakan asas modal insan yang baik untuk pertumbuhan industri.

Sudah sampai masanya program yang ditawarkan politeknik itu sendiri dinilai menerusi sistem bintang sebagai dorongan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang dijangka bermula 2010 dan mengenal pasti politeknik terbaik serta menubuhkan pusat kecemerlangan teknologi dan bidang yang menjadi kekuatan. Penyediaan tenaga pengajar hebat yang mempunyai pengalaman dalam sektor industri turut menjadi faktor penting sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan menarik minat pelajar.

Sehingga ini, seramai 449 pensyarah dari 381 syarikat diambil sejak program kerjasama dengan industri itu bermula. Ini termasuk 61 pensyarah daripada 59 syarikat tahun ini dan 210 pensyarah dari politeknik menunggu panggilan untuk mengajar tahun depan. Pensyarah jemputan dari industri pula menyuntik semangat pelajar apabila pada tahun lalu seramai 523 orang dipanggil manakala 605 orang pada 2009.

Persoalannya sekarang adakah pelbagai perubahan yang dilakukan mampu menjamin kerjasama utuh antara institusi dan institusi pengajian dan bagaimanakah industri dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti memberi sumbangan ke arah membangunkan dan mengubah keperluan modal insan yang celik teknologi dan intelek bagi menghadapi daya saing ekonomi.

Kerajaan tidak boleh menafikan kepentingan bekerjasama dengan industri yang menjanjikan faedah dan kebaikan. Antaranya meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja, meningkatkan daya boleh pasaran dan daya keusahawanan di kalangan graduan, pemindahan pengetahuan dan penyelidikan dan pembangunan dan membolehkan politeknik dan kolej komuniti memiliki daya saing bertaraf antarabangsa.

Kemahiran amat diperlukan untuk membolehkan graduan terus bersaing dalam pasaran pekerjaan di negara ini. Lebih-lebih pada ketika ekonomi Malaysia yang mengalami transformasi daripada latar belakang sektor pertanian yang kukuh dan berasaskan pengeluaran kepada ekonomi pelbagai sektor. Ini semua menjadi cabaran kepada graduan bagi memastikan kemahiran mereka terus kekal dan relevan apatah lagi dalam membangunkan kemahiran dalam k-ekonomi, ada peranan yang perlu dimainkan pelajar, IPT, majikan serta pembuat dasar.

Mahu tidak mahu, pelaburan yang begitu signifikan dalam pendidikan untuk membangunkan sumber manusia pastinya perlu dipastikan berbaloi. Petunjuk terbaru termasuk industri pengeluaran, pertumbuhan eksport, keadaan pasaran buruh dan peningkatan sentimen pengguna, langkah kepada kestabilan ekonomi domestik memberikan harapan. Dalam erti kata lain, arah aliran pekerjaan dalam ekonomi pelbagai sektor di Malaysia amat memerlukan modal insan berkemahiran.

Sampai masanya Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan penubuhan dua jabatan baru iaitu Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti sebagai usaha penjenamaan semula serta transformasi terhadap institusi pengajian itu sekali gus membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kertas Kabinet mengenai cadangan itu akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membolehkan kedua-dua jabatan baru itu ditubuhkan.

Pada masa ini, kedua-dua jabatan berkenaan digabungkan sebagai Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sejak 1 Januari 2005. Beliau berkata, penjenamaan semula itu berupaya memberi peluang kepada belia termasuk ‘mat rempit’ yang tercicir dari sistem pendidikan diterapkan dan terbabit dalam industri kreatif. Kertas Kabinet itu antara lain akan menentukan hala tuju semua politeknik dan kolej komuniti di negara ini dan menyokong usaha kerajaan untuk menjana ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti”.

Ketika ini negara menawarkan lebih 100,000 tempat untuk kursus jangka pendek yang ditawarkan semua kolej komuniti setiap tahun. Masa sudah sampai bagi pelajar politeknik mendapat peluang mengikuti kursus bertaraf diploma, berbanding sijil di semua 27 politeknik.

Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan mewujudkan sistem ranking bagi 27 politeknik bertujuan memantau prestasi dan pencapaian dalam usaha meningkatkan pembabitan politeknik dalam penyelidikan dan pembangunan. Atas alasan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan dalam politeknik dan sememangnya sampai masa bagi institusi pengajian berkenaan membabitkan diri.

Banyak usaha lain sedang dilakukan bagi menunjukkan kekuatan politeknik dan memberi peluang untuk pelajar mendapat kelulusan tertinggi. Transformasi ialah mahu menjadikan politeknik satu aliran yang kuat, kukuh untuk pelajar selain hanya dalam bidang akademik. Selepas dapat diploma, pelajar politeknik kena masuk universiti dan sampai masanya negara mewujudkan sistem lengkap untuk pelajar politeknik.

“Politeknik sebagai satu institusi di mana sebahagian besar program yang ditawarkan adalah tahap diploma dan kita mempunyai 80,000 pelajar iaitu 40 peratus pemegang diploma. Kita merasakan politeknik tidak perlu menekankan latihan kemahiran. Peringkat sijil patut diberi kepada Institut Kemahiran Mara dan lain-lain manakala politeknik sepatutnya memberi pengkhususan dalam kursus diploma untuk mengukuhkan status lulusan,” katanya.

Sehubungan itu, kerjasama dengan pihak industri tidak boleh diketepikan dan sememangnya untuk memastikan mereka menjalankan peranan dengan betul dan keberkesanan program mereka. Sektor industri memerlukan tenaga kerja mahir dan kerajaan akan terus mengadakan dialog bagi memastikan kerjasama lebih kukuh pada masa depan.

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails