Sunday, November 8, 2009

Keajaiban

Bunga pelik





Warna kelopak Yesterday, Today, Tomorow berubah ikut usianya

NAMANYA amat unik - bunga Yesterday, Today, Tomorow selain turut dikenali Sunday Morning atau Morning Noon Night.

Namun, bukan saja namanya pelik, malah bunga yang nama saintifiknya, Brunfelsia pauciflora juga mempunyai ciri unik kerana bunganya bertukar warna mengikut usianya iaitu semakin matang, semakin cerah warnanya.


Bagaimanapun, bunga yang turut dikenali Brunfelsia biru ini dan dalam kategori kelompok renek, bukan saja menawan, tetapi berbau harum.

Ciri-ciri ini menjadikannya antara bunga paling laris sebagai pilihan menghias laman.

Bunga daripada keluarga Solanaceae yang turut mempunyai 30 spesies lain dalam kategori sama, dikatakan berasal dari Brazil biarpun ada jurnal botani mendakwa ia berasal dari Afrika Selatan.



Bagaimanapun, biarpun profil asal di dua negara itu, bunga Yesterday, Today dan Tomorrow ini banyak ditemui di laman kediaman di Asia dan kawasan beriklim tropika di Amerika tengah dan Selatan.

Sekali imbas ia seperti bunga melur, tetapi kelopaknya lebih lebar. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 9 kaki. Bunga ini mempunyai lima kelopak dan wangi. Ia berwarna ungu, dan putih yang menggambarkan usia sebenarnya.

Jika anda menemui bunga warna ungu tua, ini bermakna ia baru berkembang. Setahun kemudian, ia mengeluarkan bunga berwarna ungu muda seperti lavender dan apabila matang, ia berwarna putih.

Ia yang sering menjadi tumbuhan laman dan hiasan laman sebagai pokok pagaran dan wangian, juga membiak melalui keratan batang dan biji benih, tetapi buahnya amat jarang ditemui.


Bagi mereka yang sukakan kelainan di laman, pokok ini boleh ditanam dalam pasu untuk dijadikan hiasan dalaman dan sesuai untuk mengharumkan kawasan yang mempunyai ruang terhad.

Malah bagi memastikan keserian dan wanginya menguasai ruang yang diingini, peminat bunga ini digalakkan menanam pokok berkenaan di dalam pasu untuk memudahkan usaha mengalihya ke sudut laman rumah.

Pokok ini dikategorikan tumbuhan yang ‘mesra’ iklim sederhana tetapi memerlukan air yang banyak serta cahaya matahari. Bagaimanapun, ketika musim panas ia lebih sesuai diletakkan di kawasan yang agak redup.

Bagaimanapun, di sebalik kecantikan fizikal dan baunya yang wangi, bunga Yesterday, Today dan Tomorrow ini, sebaliknya satu tumbuhan beracun. Jika termakan, ia boleh menyebabkan mangsa mengalami pengeluaran air liur yang berlebihan, sesak nafas, sawan, anak mata menjadi besar serta pucat.

Oleh kerana ia berbau harum, bunganya banyak digunakan untuk rawatan aromaterapi tetapi tiada khasiat perubatan yang diperoleh untuk spesies ini.

Ada laporan jurnal yang menasihatkan supaya bunga ini dijauhkan daripada kanak-kanak dan haiwan peliharaan kerana dikhuatiri akan dimakan dan boleh menyebabkan keracunan.

Info

Nama: Yesterday, Today, Tomorrow

Nama Saintifik: Brunfelsia pauciflora

Nama Lain: Brunfelsia biru, Morning-Noon-and-Night, Brunfelsia Floribunda

Spesies famili: Solanaceae

Asal: Brazil dan Afrika Selatan

Tip tanaman

  • Pokok bunga ini seelok-eloknya ditanam di dalam pasu bagi memudahkan usaha mengalih tumbuhan ini terutama ketika musim hujan. Ini bagi mengelak tumbesarannya terjejas atau rosak akibat hujan.

  • Pokok ini juga perlu sentiasa dipangkas bagi mengawal pembesarannya serta pengeluaran bunga. Pangkasan ini juga dapat menjadikan bentuknya lebih menarik.

  • Perkara yang perlu diutamakan ketika menyiram pokok ini adalah menjarakkan tempoh siraman. Memadailah jika ia disiram dengan air mencukupi dan tidak kerap bagi memastikan akar pokoknya tidak rosak akibat terlalu banyak air.

  • Masa paling elok bagi siraman adalah pada awal pagi atau petang. Ini bukan saja dapat menjimatkan air tetapi pada masa sama, menjaga kesuburan tumbuhan ini.

  • sumber ; berita harian online

    Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

    Anda juga mungkin meminati

    Related Posts with Thumbnails