Monday, November 2, 2009

Anugerah Ilahi

Pagar semula jadi

Sumber Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my




Ketinggian buluh meneduhkan ruang laman.

Buluh atau bambusa sesuai sebagai pohon pagaran selain kalis bunyi

MENANAM buluh untuk dijadikan pokok pagaran adalah pilihan terbaik untuk kediaman berbanding membina pagar menggunakan batang buluh.

Ini kerana pokok buluh seperti tumbuhan yang lain mampu menyerap karbon dioksida, malah ada yang berpendapat pokok ini menyerap gas berkenaan lebih banyak daripada tumbuhan lain.


Selain penuh nilai estetika, penanaman pohon buluh sebagai pagaran dilihat lebih berbaloi kerana ia mempunyai dwifungsi kepada laman dan kediaman iaitu mencantikkan dan menghidupkan suasana.

Malah, buluh menjadi salah satu tanaman paling mudah untuk tumbuh dan dijadikan pagar ‘hidup’ untuk laman kerana cirinya yang cepat hidup dan meninggi.

Sesuai sifatnya yang boleh membesar sehingga 2.43 meter atau lapan kaki, buluh juga menjadi pagar kalis bunyi dan menghalang pemandangan luar yang memberi hak bersendirian kepada pemilik kediaman. Buluh juga penghalang angin dan bunyi desiran angin di celah pohon buluh mendamaikan membangkitkan lagi nilai estetika laman.
Buluh menjadi pilihan bagi membahagikan sempadan.

Ada dua jenis buluh yang utama sesuai untuk dijadikan pokok pagaran. Jenis pertama disebut buluh menjalar dan rizom, atau akar tanaman ini, menjalar beberapa inci di bawah tanah secara horizontal (mendatar). Biasanya ketika mula membesar ia akan menjalar di kawasan sekitarnya dan lebih mudah membesar dan menjadi pagaran.

Jenis kedua pula dikenali sebagai rumpun. Buluh jenis ini tumbuh serumpun kerana ubi akarnya lebih bulat dan tidak menjalar. Biasanya jenis ini sukar membiak dengan cepat kerana tumbuh berdasarkan ubi akarnya.

Namun, buluh jenis ini lebih mudah untuk diuruskan tumbesarannya dan lebih sukakan cahaya matahari yang dapat menggalakkan pertumbuhannya.

Pertumbuhan buluh jenis ini lebih perlahan iaitu hanya meningkat dua hingga tiga kali saiz asalnya setahun dan menyebabkan jangka waktu lebih lama diambil sebelum dapat dijadikan pagar kediaman.
Buluh cantik ditanam di sudut laman.


Biasanya, pokok buluh banyak dijadikan pokok pilihan bagi laman berkonsep tropika dan Zen atau China. Selain menjadi pokok pagaran, buluh dijadikan hiasan untuk membahagikan sempadan serta penghias kawasan tepi tembok dan sudut kediaman.

Terkini, seni hiasan laman menampilkan ciri tradisional dengan sentuhan kontemporari dan buluh sering menjadi pilihan pereka laman kerana ia hiasan yang tidak `lapuk' dan boleh disesuaikan untuk apa konsep pun termasuk moden.

Info

Persediaan menanam buluh sebagai pagar

# Kenal pasti kawasan pilihan. Kawasan yang sesuai seluas 1.5 meter dan lebar 91.44 sentimeter bergantung kepada jenis dan saiz buluh.

# Seeloknya, jangan jemur akar pokok buluh yang dikeluarkan daripada beg semaian.

# Untuk menanam buluh serumpun, korek lubang tiga kali lebih besar daripada akar pokok. Letakkan tanah kompos bagi sistem pengairan akar. Anda juga boleh letakkan sedikit pasir dekat dengan akar pokok bagi membolehkan air masuk ke dalam tanah.

# Bagi memastikan buluh yang ditanam hidup dan cepat membesar, buatkan parit kecil 30 sentimeter untuk sistem pengairan.

# Seeloknya, siram pokok dua kali sehari supaya pokok tidak kering.

# Jangan gunakan baja kimia untuk dua tahun pertama penanaman. Selepas tempoh itu, gunakan rumput atau serbuk sabut kelapa di sekeliling pokok. Biasanya, buluh akan menjadi pagar yang cantik apabila masuk tahun kedua penanaman.



Fakta

# Ada kira-kira 100 jenis buluh dengan pelbagai warna, bentuk dan tekstur yang tumbuh di kawasan tropika dan separa tropika.

# Di Semenanjung Malaysia, kira-kira 13 spesies buluh digunakan secara meluas dalam industri kecil, industri kraftangan dan pengeluaran buluh seperti Buluh Duri (Bambusa Blumeana), Buluh Galah (Bambusa Heterostachya), Buluh Minyak (Bambusa Vulgaris), Buluh Betong (Dendrocalamus Asper), Buluh Akar/Tali (Dendrocalamus Pendulus) dan Buluh Semantan (Gigantochloa scortechnli).

# Buluh Minyak dan Buluh Betong sering menjadi pilihan untuk seni hiasan laman kerana rupanya yang cantik dan unik untuk seni hias taman.

# Di kawasan tropika, daunnya lebih lebat berwarna hijau dengan batangnya boleh hidup memanjang sehingga lebih 30 meter dan dikenali sebagai tumbuhan tropika paling panjang. Click Here

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails