Friday, October 30, 2009

Keprihatinan Kerajaan

Pusat Inovasi Negara ditubuh


Najib Tun Razak bersama Dr. Maximus Ongkili menyaksikan Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Muhamed Tahir (kiri ) dengan Pengerusi Might Technology, Mohd. Yusoff Sulaiman bertukar dokumen perjanjian persefahaman di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) dan rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi (i-CoE) ke arah menyerapkan inovasi sebagai satu amalan di kalangan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, kewujudan pusat ini kelak akan menggalakkan inovasi dan memastikan usaha lebih terselaras dalam penghasilan ciptaan baru yang boleh dikomersialkan.

“Inovasi yang hendak dilaksanakan adalah bersifat menyeluruh dalam erti kata ia tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi sahaja.

“Seperti yang saya hurai dalam ucapan bajet baru-baru ini, ia melibatkan inovasi secara menyeluruh seperti tadbir urus, kemasyarakatan, bandar, desa, korporat industri, pendidikan penjagaan kesihatan, pengangkutan, jaringan keselamatan sosial dan penjenamaan,” katanya.

Perdana Menteri bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mesyuarat selama kira-kira tiga jam itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili dan beberapa menteri Kabinet, pemimpin industri, ahli profesional dan akademik serta tokoh korporat.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman antara Might Technology Sdn. Bhd., Proton dan Azanor Exim Sdn. Bhd bagi program Vehicle Advance Telematics System (VATS).

Menurut Perdana Menteri, selain mengesahkan inovasi sebagai sebahagian agenda utama negara, mesyuarat hari ini turut bersetuju supaya Hari Kualiti Negara yang dilaksana di sektor awam diganti dengan Hari Inovasi mulai pada tahun hadapan.

Katanya, ini bererti mana-mana jabatan yang dapat memperkenalkan penyelesaian berbentuk inovatif dan kreatif hingga membawa peningkatan kecekapan urus tadbir kerajaan serta sistem penyampaian akan menerima ganjaran yang bersesuaian daripada kerajaan.

“Ini sebagai satu contoh atau langkah untuk kita menentukan bahawa pemikiran dan kaedah inovasi kreatif ini akan meresap dalam segenap lapisan masyarakat negara kita.

“Kita juga telah berbincang tentang modal insan dalam bidang inovasi dan kementerian berkenaan akan mengambil tindakan susulan supaya dapat membudayakan inovasi melalui sistem pendidikan,” jelasnya.

Selain itu kata Najib, kerajaan turut menimbangkan cadangan mewujudkan sebuah Pusat Inovasi Negara yang bertaraf ikon seperti diwujudkan dalam kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Menurutnya, bagaimanapun sama ada cadangan ini boleh serta sesuai dilaksanakan dari segi keupayaannya akan dikaji oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Kita juga bersetuju supaya pembangunan teknologi nano menjadi sumber baru dalam model ekonomi baru. Teknologi ini merupakan satu bidang yang ke hadapan dalam pembangunan teknologi pada masa ini dan akan datang.

“Justeru itu amat penting bagi Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam bidang teknologi nano ini dan keputusan diambil supaya ia menjadi keutamaan kita,” jelasnya.

Kuiz Interaktif Kemahiran Hidup

Anda juga mungkin meminati

Related Posts with Thumbnails